Isu negara Islam telah digunakan oleh UMNO-BN untuk merendah-rendahkan kredibiliti PAS.
Jika diperamat-amati, isu ini tenggelam timbul dalam arus perdana politik Malaysia. Suatu ketika dahulu, keengganan UMNO untuk melaksanakan hukum Islam telah merebakkan pernyataan yang berkonotasi ekstrem. UMNO dicap sebagai tidak Islam. Sehubungan itu, mencullah sembahyang dua imam, mengkafirkan ahli UMNO, dan tidak makan sembelihan orang UMNO.
Sekalipun demikian, UMNO tidak mengubah apa-apa berikutan dengan dakwaan tersebut. Sebagai parti sekular yang memegang tampuk pemerintahan, UMNO berasa tidak tergugat dengan insiden-insiden yang memalukan orang Melayu dan umat Islam itu. Sememangnya isu tersebut sirna dengan sendirinya kerana majoriti orang Melayu masih memihak kepada UMNO-BN. Kesempatan itu telah digunakan untuk memperkecil-kecilkan cita-cita PAS hendak mewujudkan sebuah negara Islam.
Walau bagaimanapun, langit tidak selalu cerah bagi UMNO. Perpecahan dalam UMNO menyebabkan PAS dan Semangat 46 menyapu bersih semua kerusi di DUN Kelantan. Pada masa inilah UMNO menderhakai raja. Annuar Musa menabalkan Sultan Kelantan yang palsu. Penyingkiran Anwar Ibrahim dan mata lebamnya telah menyebabkan PAS berjaya menguasai dua buah negeri, iaitu Kelantan dan Terengganu.
UMNO kembali gagah apabila Semangat 46 dikuburkan dan ahli-ahlinya kembali menyertai UMNO. Hal ini menyebabkan UMNO berasa begitu kuat hingga terjebak dalam kancah yang membinasakan setelah memenangi PRU Ke-11 dengan cemerlang. Namun, kewujudan tuntutan sebuah syarikat hingga menjadi kes mahkamah menjelaskan bahawa BN menggunakan wang yang berlebihan daripada jumlah yang dibenarkan dalam peraturan pilihan raya. Selain itu, terdapat banyak lagi penyelewengan lain yang dilakukan oleh BN, khususnya para pemimpin UMNO. Antaranya ialah rasuah, penyalahgunaan kuasa, kelemahan pentadbiran, penyelewengan, nepotisme, dan kronisme. Kesemua yang disebutkan itu menimbulkan ketidaksenangan rakyat terhadap kerajaan UMNO-BN.
Tanpa menyedari gelombang penentangan terhadap UMNO-BN, Pak Lah mengadakan PRU Ke-12 lebih awal daripada masa yang sepatutnya. Akibatnya lima buah negeri dikuasai Pakatan Rakyat dan kehadiran 82 orang wakil Pakatan Rakyat dalam Dewan Rakyat menghancurkan majoriti dua pertiga BN. Perkara yang dikesalkan daripada keputusan rakyat itu ialah keengganan BN, terutamanya UMNO untuk menerima hakikat.
Keengganan itu menyebabkan senario politik di Malaysia dipenuhi pelbagai peristiwa yang menunjukkan kependekan akal pemimpin kerajaan. Fokus tidak terarah kepada merealisasikan tanggungjawab kerajaan kepada rakyat tetapi membuat pemantauan bagi mencari kelemahan Pakatan. Tindakan ini sama sekali tidak perlu kerana rakyat tahu bahawa BNlah yang tidak berkesan. Sebab itulah mereka mengubah haluan.
Terlalu banyak masa dibuang begitu sahaja akibat ketidakcerdikan itu. Rasuah, kronisme, dan penyalahgunaan kuasa tidak dapat disembunyikan oleh BN. Oleh sebab itu, mereka kalah 8 kerusi dan hanya menang 3 kerusi dalam PRK Pasca-PRU Ke-12. BN menang di Batang Air kerana Bumiputera Sarawak masih menganggap rasuah politik BN sebagai bantuan dan tanda prihatin kerajaan kepada mereka walaupun itulah satu-satunya durian runtuh untuk mereka. Yang lain akan datang apabila pilihan raya negeri atau PRU Ke-13 diadakan. Kemiskinan harta, moral, dan maklumat menjadi penyumbang utama kepada fenomena ini.
BN menang di Bagan Pinang. Kemenangan besar di situ tidak menghairankan sesiapa pun. Selain menjadi kubu kuat UMNO, kehadiran sejumlah besar pengundi pos yang terdiri daripada anggota tentera menyumbang kepada ketersembaman PAS yang mewakili Pakatan di situ.
UMNO-MIC-BN menang di Hulu Selangor setelah merasuah pengundi pelbagai bangsa dengan aneka macam pemberian yang dijenamakan sebagai rancangan yang telah diluluskan dalam Rancangan Pembangunan Lima Tahun. Namun, mereka gagal mendapat sokongan orang Cina dan turut gagal mengurangkan jumlah undi yang diterima oleh PKR walaupun ramai penyokong parti itu dipindahkan ke kawasan lain.
Undi pengundi Cina kepada Pakatan tetap kukuh sehinggalah PRK Sibu selesai. Perkembangan yang lebih menarik dalam pilihan raya itu ialah orang Melayu dan Bumiputera Sarawak mula menyokong DAP. Perkara ini berlaku kerana kegigihan PAS dan PKR mendekati golongan tersebut semasa berkempen.
Trend pemilihan berasaskan bangsa sudah semakin terhakis sejak berakhirnya PRU Ke-12. Kebimbangan terhadap PAS sebagai ekstremisme agama semakin hilang. Ketakutan terhadap DAP sebagai parti cauvinis Cina juga bertambah nipis. UMNO menjadi semakin tidak tentu arah melihat keakraban PAS dengan DAP. Hal ini menyebabkan ulama proUMNO mengkritik Pas yang lebih rela bersekongkol dengan orang Cina berbanding dengan bangsa sendiri dalam UMNO. Kenyataan berbau perkauman seumpama ini sudah tidak laku lagi pada abad ke-21 ini. Orang lebih melihat kepada perjuangan menyatupadukan pelbagai kaum demi keadilan sejagat untuk berkongsi kekayaan negara.
Islam tidak lagi menakutkan atau mencurigakan orang Cina dan India. Mereka sudah nampak keikhlasan pemimpin yang berjuang atas nama Islam. Mereka sudah memahami konsep Islam itu bersaudara dan hubungan sesama insan antara orang Islam dengan bukan Islam. Mereka sudah menerima Islam sebagai agama antipenindasan. Tanggapan lama terhadap Islam yang dibumbui kesyakwasangkaan hanya wujud dalam kalangan para pemimpin bukan Islam yang menganggotai BN dan penyokong-penyokong mereka.
Angin perubahan ini perlu disemarakkan sehingga kedatangan PRU Ke-13 yang dijangka tahun hadapan. Itulah masa yang ditunggu-tunggu untuk melenyapkan keangkuhan UMNO-BN sebagai pemerintah. Kejayaan hanya dapat dicapai dengan kerja kuat, keikhlasan, kesungguhan, dan usaha berterusan. Marilah kita sama-sama merealisasikan hasrat dan cita-cita Rakatan Rakyat ini.